Adakah Kita Termasuk Orang Yang Bertaqwa

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Tidak sampai seseorang hamba keperingkat golongan orang-orang bertaqwa, sehinggalah ia tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan sentiasa berhati-hati daripada melakukan perkara-perkara yang menimbulkan keraguan (perkara-perkara Syubhat)”.
Riwayat at-Tarmizi

Huraian
1. Untuk mencapai ketahap taqwa seseorang itu hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang meragukan.
2. Umat Islam diingatkan supaya berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara lebih-lebih lagi berkaitan dengan sesuatu yang haram.
3. Seseorang itu belum lagi dikira bertaqwa, selagi masih melakukan perkara-perkara yang syubhat, kecuali apabila ia meninggalkan perkara-perkara yang haram dan syubhat tersebut, serta beramal dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.”
Riwayat at-Tarmizi

Huraian
1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain

Membanyakkan istighfar

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Membanyakkan istighfar
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Demi Allah, kalau kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka.”
(Muslim)

Huraian
1. Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu, godaan syaitan dan sebagainya.
2. Sesungguhnya dosa sebenarnya bukanlah perkara yang pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah SWT.
3. Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambah-tambahlah dosa yang dilakukan dari sehari ke sehari lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh.
4. Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah S.W.T tetapi ia juga sebagai suatu sinar cahaya yang menerangi wajah seseorang.